KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengenakan pertuduhan ke
atas bekas pemegang saham utama Maxbiz Corporation Bhd (Maxbiz), Datuk Andrew Leong Wye Keong dengan empat pertuduhan dagangan orang dalam.

Andrew Leong dituduh di bawah seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan
2007 (CMSA) untuk melupuskan 2,131,400 unit saham Maxbiz dalam akaun anaknya pada 30 Disember 2010 dan sejumlah 8,100,000 saham Maxbiz dalam akaunnya sendiri antara 30 Disember 2010 dan 18 Januari 2011, ketika memiliki maklumat dalaman.

SC mendakwa Andrew Leong telah memperoleh maklumat dalaman tersebut daripada Datuk Vincent Leong Jee Wai, Pengarah Urusan Maxbiz ketika itu.

Vincent Leong sebelum ini dikenakan pertuduhan oleh SC pada 22 Mei 2017 untuk
menyampaikan maklumat dalaman kepada Andrew Leong.

Maklumat material bukan awam bagi tiga pertuduhan pertama adalah berkaitan dengan
pengurangan dalam ekuiti pemegang saham Maxbiz yang membawanya hampir
diklasifikasikan sebagai syarikat yang berdepan masalah kewangan.

Maklumat material bukan awam dalam pertuduhan keempat adalah berkaitan
pengklasifikasian Maxbiz sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17).

Maxbiz sebelum ini disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sebelum dinyah senarai
pada 26 Mac 2012.

Andrew Leong memohon untuk dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Zulqarnain Hassan menetapkan ikat jamin sebanyak RM600,000 dengan dua penjamin.

Kesalahan dagangan orang dalam boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi
10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta di bawah CMSA. – MalaysiaGazette