Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun bercakap pada sidang media Cadangan Penganjuran Kongres Ekonomi MPM di Skala Holdings, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Kecaman terhadap akhbar berbahasa Inggeris The Star masih tidak berhenti.

Disebalik kecaman akhbar itu menyiarkan berita memburukkan orang Islam semalam – ‘keburukan’ The Star sebelum ini mula dibongkar semula.

Hari ini Majlis Perundingan Melayu (MPM) juga membidas akhbar tersebut yang bukan sahaja menghina orang Islam dengan tajuk berita dan gambar yang digunakan tetapi juga mempersoalkan iklan tukang urut yang terletak di bawah muka depan akhbar itu.

Pengerusi Biro Politik MPM, Shahbudin Embun mempersoalkan kewajaran akhbar tersebut yang meletak iklan sedemikian di muka depannya yang dilihat tidak sensitif.

“Sudahlah tajuknya tidak sensitif dengan gambar yang digunakan pada muka depan akhbar, apa tujuan mereka letak gambar tukang urut bawah gambar umat Islam sedang menunaikan solat?

“Ini satu penghinaan besar kepada umat Islam,” kata Shahbudin dalam satu sidang media di Pandan Indah hari ini.

Shahbudin juga membidas tindakan The Star tersebut sebagai membawa implikasi tidak baik dan berniat jahat terhadap agama Islam kerana seolah-olah memberi gambaran menyokong unsur keganasan.

“Paparan muka utama itu sangat jelas membawa implikasi yang salah dan mempunyai unsur niat jahat dan berunsur penghinaan kepada agama Islam serta institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunggak kepada negara.

“Akhbar The Star dalam cara laporan tersebut juga dilihat mempunyai elemen mala fide (niat jahat) yang jelas tidak sesuai dalam penerbitan di halaman utama akhbar itu dan ia berunsur provokasi yang merbahaya kepada keselamatan negara dan mengguris perasaan umat Islam,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Biro Integriti MPM, Tan Sri Mohd. Zaman Khan Rahim Khan turut sama membidas akhbar tersebut yang boleh didakwa kerana mengeluarkan kenyataan yang mempunyai unsur hasutan sehingga menyebabkan umat Islam terasa terhina.

“Ia (The Star) ada unsur hasutan, cara akhbar ini timbul perasan kita yang dikira sebagai satu penghinaan kepada umat Islam,” kata Zaman Khan.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu juga menggesa supaya tindakan tegas terhadap Ketua Pengarang The Star tersebut sama ada dikenakan hukuman tegas atau pun meletak jawatan secara sukarela ekoran tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

“Pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) perlu mengambil tindakan tegas sama ada dengan menggantung atau mendenda akhbar tersebut atau ketua pengarang itu mengambil tanggungjawab ke atas tindakannya dengan meletak jawatan,” katanya lagi.

KDN semalam dalam satu kenyataan mengatakan bakal memanggil Ketua Pengarang akhbar berbahasa Inggeris The Star susulan kandungan muka depan akhbar itu yang tidak sensitif kepada umat Islam di negara ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, pihaknya kecewa dengan akhbar tersebut yang secara sambil lewa memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan, namun tajuk muka depannya tertulis Malaysia Terrorist Leader. – MalaysiaGazette

Comments are closed.