Industri Latihan Pemanduan (ILP) Kenderaan Motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai 9 September ini.- Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR – Amalan ‘duit kopi O’ masih berleluasa dalam ujian memandu dan pelajar yang cuba mengelak daripada ‘budaya turun-temurun’ tersebut dilihat sebagai sengaja mencari pasal.
Sinchew Daily melaporkan, sekolah memandu selalunya akan menasihatkan pelajar untuk menjelaskan ‘duit tambahan’ untuk menjamin kelulusan mudah.
Walaupun sekolah memandu tidak memberi jaminan lulus selepas pelajar membayar ‘duit kopi O’ tetapi mereka akan memberitahu bahawa “kebanyakan calon memandu yang menjelaskan duit akan lulus”.
Akhbar itu yang memetik pengalaman seorang calon memandu dari Melaka melaporkan, RM350 akan dikenakan untuk ‘pakej penuh’ manakala RM180 untuk kelulusan satu-satu ujian.
Sekolah memandu juga menyakinkan pelajar bahawa mereka akan lulus melainkan berlaku kemalangan jalan raya semasa ujian memandu dijalankan.
Sekolah memandu juga mendakwa semua bayaran yang dikutip akan diserahkan sepenuhnya kepada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Apabila ditanya apakah yang akan berlaku ke atas pelajar yang enggan membayar ‘duit kopi O’, petugas sekolah memandu memberitahu, “kelulusan dalam ujian akan bergantung kepada nasib jika tidak membayar”. – MalaysiaGazette