Rokok yang dijual di restoran dikecualikan SST. Gambar hiasan
PETALING JAYA – Kajian Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) mendapati 85 peratus pelajar mengetahui bahawa merokok boleh menjurus kepada kanser peparu manakala 95 peratus sedar tembakau membahayakan kesihatan mereka.
Malangnya, 70 peratus pelajar yang menerima kajian selidik tetap merokok seawal 12 hingga 15 tahun walaupun kebanyakannya sedar akan bahaya tembakau.
Kajian itu dilakukan dalam kalangan 143 pelajar dalam lingkungan umur 13 hingga 17 tahun di empat sekolah.
Ramai remaja juga mahu membuangkan tabiat merokok, tetapi gagal berbuat demikian kerana faktor dalaman dan luaran.
Sinchew Daily melaporkan, lebih separuh daripada pelajar yang menerima kajian mempunyai ibu bapa yang juga merokok.
Berikutan daripadanya, NCSM telah mengadakan program buang ketagihan rokok dan berjaya mencapai kejayaan 64 peratus dalam kalangan peserta, kadar yang lebih tinggi berbanding di Amerika.
“Sebanyak 36 peratus peserta bagaimanapun gagal membuang tabiat merokok, kerana mereka adalah perokok tegar,” kata Presiden NCSM, Dr. Saunthari Somasundaram.
Katanya, pelajar dianggap berjaya membuang ketagihan jika mereka tidak merokok selama tiga bulan selepas tamatnya program yang dijalankan.
Dr. Saunthari bagaimanapun berasa kecewa kerana terdapat ibu bapa yang tidak mengizinkan anak mereka menyertai program kerana bimbang orang lain mengetahui anak mereka merokok.