Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berucap pada Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Tabung Haji di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 30 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengetuai barisan Ahli Lembaga Pengarah dan 98 pegawai tertinggi seluruh organisasi agensi itu menandatangani ikrar bebas rasuah.

Beliau terpanggil untuk melakukan ikrar itu bagi TH sebagai membuktikan kepada rakyat akan amanah dan tanggungjawab yang dijalankan agensi itu.

“Walaupun setakat ini tidak ada rekod rasuah dalam seluruh organisasi TH tetapi apa yang kita lakukan ini adalah atas rasa tanggungjawab membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencegah jenayah rasuah.

“Di awal saya dilantikan sebagai Pengerusi TH pun saya meminta Perdana Menteri menunaikan hasrat saya supaya ditempatkan seorang pegawai kanan SPRM di Unit Integriti TH bagi mengawal dan memantau gejala rasuah dalam kalangan pegawai dan kakitangan TH,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ikrar Bebas Rasuah di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifi Ahmad.

Menurut Abdul Azeez, dalam usaha TH memantapkan integriti dan pencegahan rasuah, agensi itu kini menuju ke arah Persijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO 37001.

Ujar beliau, beberapa pegawai TH telah dihantar mengikuti bengkel penyediaan dokumentasi ABMS ISO 37001 dan menjadi antara agensi terawal mendapat persijilan itu.

“Saya serius dan prihatin dalam meletakkan nilai integriti sebagai satu misi utama bagi membanteras rasuah, bermula dengan usaha menandatangani Corporate Integrity Pledge (CIP) pada tahun 2012.

“Selain itu, pelbagai usaha dan program telah kita laksanakan seperti pengwujudan Pelan Integriti TH, Kod Etika Perniagaan, Kod Etika Pembekal dan sebagainya,” kata beliau.- MalaysiaGazette