Presiden Persatuan Petani Buah-buahan, Hong Jok Hon meminta kerajaan mengawal import buah-buahan khususnya pisang dan jambu air dari negara jiran bagi mengelakkan harga menjunam.
PUTRAJAYA – Import secara berlebihan dari Filipina, India dan Vietnam telah menyebabkan harga pisang di pasaran menjunam.
Di Johor umpamanya, harga pisang yang lazim berlegar sekitar RM2 hingga RM2.50 sekilogram telah menurun mendadak kepada RM1.60 atau lebih rendah.
Menurut statistik Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), negara ini telah mengimport 13,000 tan pisang dari Filipina, 100 tan dari India dan 30 tan dari Vietnam pada bulan Mei.
Presiden Persatuan Petani Buah-buahan, Hong Jok Hon meminta kerajaan mengawal import buah-buahan khususnya pisang dan jambu air dari negara jiran bagi mengelakkan harga menjunam.
Nanyang Siang Pau bagaimanapun melaporkan, kerajaan tidak boleh mengawal atau menyekat import di bawah perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Kata seorang pegawai, sekatan import hanya akan mewujudkan pertikaian antara negara.
Menurutnya, pihak yang melakukan lambakan bagaimanapun boleh dikenakan tindakan dan kerajaan juga boleh mengadu kepada kedutaan berkenaan atau WTO.
“Kami juga boleh mengarahkan MAQIS untuk memperlahankan proses pemeriksaan dan kelulusan, ini tidak melanggar perjanjian WTO atau ASEAN,” katanya. – MalaysiaGazette