R. Sivarasa dalam satu majlis di Masjid An-Nur Kg Melayu Subang, Rabu lalu

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang melampaui batas agama Islam kerana berceramah politik di dalam masjid baru-baru ini.

Kenyataan Azmin semalam yang beliau hanya sekadar mampu menasihati Sivarasa agar tidak mengulangi insiden itu tidak mencerminkan kesungguhan beliau untuk memastikan ‘anak buah’nya benar-benar insaf.

“Menteri Besar Selangor kena bertanggungjawab, Azmin sepatutnya boleh fikir takkan nak wakilkan bukan Islam masuk masjid. Dia boleh wakilkan orang Melayu untuk acara tersebut. Biarpun di Ahli Parlimen Subang, dia tidak sepatutnya masuk masjid dan beri ceramah.

“Azmin perlu lebih sensitif sebab dia memegang jawatan Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan. Kemurkaan ini mungkin akan berlarutan, pokok pangkalnya terletak di Menteri Besar kalau tegas, maka perkara ini tidak akan berlaku,” kata penganalisis politik, Datuk Ramlah Adam.

Reaksi muram Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali pada Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat Serta Perasmian Masjid An-Nur Temasya Glenmarie, Shah Alam. foto SAFWAN MANSOR, 02 JUN 2017

Mengulas lanjut, beliau berkata, gabungan pembangkang tidak pernah belajar dari sejarah episod kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap beberapa kenyataan dan tingkah laku beberapa pemimpinnya.

Beliau yang dihubung MalaysiaGazette berkata, insiden yang melibatkan ahli Parlimen Subang, Sivarasa bukan yang pertama berlaku di Selangor sehingga menimbulkan rasa murka Sultan Selangor.

“Bukan tidak pernah berlaku dimana pemimpin PKR, DAP yang melanggar perintah Sultan Selangor, baginda sudah bertegas akan perkara itu. Dulu pernah juga berlaku dan akhirnya baginda titah keluarkan arahan agar melarang mana-mana ahli politik untuk tidak berceramah dalam Masjid.

“Baginda murka atas perkara yang sudah jelas, apa yang R. Sivarasa lakukan tidak harus berlaku,” katanya.

Profesor Datuk Dr Ramlah Adam

Ramlah mengulas mengenai titah Sultan Selangor ekoran R Sivarasa yang berucap dalam Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang 24 Mei lalu.

Ujarnya lagi, ahli PKR itu sepatutnya akur akan perintah Sultan Selangor pada Mei lalu yang mengingatkan pemimpin politik tidak menjadikan masjid sebagai medan berpolitik.

“Ini bukan satu sifat orang yang punyai nilai tamadun sebab tidak menghormati perintah Sultan agar tidak berceramah di dalam masjid, malah bagi pelbagai alasan. Tindakan mahumengadap Sultan itu tidak perlu sebab dia jangan fikir dia sama kedudukan dengan Sultan,” katanya lagi.

Tiga tahun lalu, Sultan Selangor turut murka terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mendesak supaya Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam di negeri itu.

Kemurkaan baginda itu dizahirkan berikutan kenyataan Khalid pada 17 Jun 2014 yang menggesa Kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Mais.

. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.