Gambar hiasan

Kuala Lumpur- Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mendakwa syarikat penerbangan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) telah mengurangkan anak kapal seramai satu atau dua orang dalam setiap penerbangannya sebagai langkah mengurangkan kos.

Ini telah menyebabkan berlakunya lebihan bebanan kerja terhadap anak-anak kapal yang terpaksa memikul tugas yang lebih berat berikutan kekurangan kakitangan sehingga menyebabkan mereka memfailkan aduan kepada kesatuan tersebut.

Ia juga menyebabkan para penumpang tidak mendapat kualiti perkhidmatan terbaik semasa menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS), dakwa NUFAM.

“Anak-anak kapal mendakwa mereka memikul kerja berganda bagi sektor harian.

“Mereka juga menghadapi situasi merbahaya disebabkan bebanan kerja ekoran pengurangan jumlah anak kapal yang bertugas.

“Sebelum ini Penyelia Penerbangan (IFS) tidak terlibat dengan perkhidmatan dalam penerbangan tetapi sejak jawatan Ketua Pramugara dihapuskan oleh MAS, mereka terpaksa menyinsing lengan membantu pramugari dan pramugara yang lain menyediakan makanan kepada penumpang.

“Tugas IFS adalah untuk menyelia dan memantau situasi di dalam penerbangan namun sekarang mereka terpaksa memberi perkhidmatan dalam penerbangan sehingga menyebabkan tiada siapa lagi yang menyelia keseluruhan penerbangan.

“Mereka ibarat seorang pengurus yang dipaksa untuk bekerja di bawah kedudukan asalnya,” kata NUFAM dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Malah menurut NUFAM, kesatuan tersebut turut dimaklumkan bahawa anak-anak kapal yang terlibat dalam insiden MH128 yang lalu menghadapi masalah untuk meminta cuti kerana kekurangan tenaga kerja.

“Beberapa anak kapal mengadu yang jabatan tidak mampu memberikan cuti.

“Ini menunjukkan syarikat penerbangan tersebut meletakkan dasar “perniagaan seperti biasa” mengatasi kesejahteraan peribadi anak-anak kapal.

“Syarikat penerbangan sepatutnya lebih sensitif kepada anak-anak kapal baharu sahaja mengalami krisis semasa penerbangan di Melbourne.

“Sepatutnya mereka perlu melalui pemeriksaan kesihatan sebelum melaksanakan tugas semula kerana kemungkinan ada anak-anak kapal yang masih belum bersedia dari segi mental dan fizikal selepas mengalami trauma sedemikian,” katanya lagi.

NUFAM dengan itu meminta MAB untuk tidak menafikan bahawa mereka sedang melakukan pengurangan pekerja seperti yang didakwa.-MalaysiaGazette