Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja kemajuan Projek TRX di tapak Tun Razak Exchange (TRX), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung krisis diplomatik di antara Qatar dengan empat buah negara Arab lain.

“Kita memang rapat dengan negara-negara Teluk namun buat masa ini kita sedang memantau rapat perkembangannya kerana masih tidak tahu apa isu sebenarnya,”  kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungan Malaysia dengan Qatar selepas empat buah negara di Asia Barat mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.

Hari ini, empat buah negara Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir mengambil tindakan memutuskan hubungan diplomatik dan menutup pintu-pintu sempadan dengan Qatar.

Mereka mendakwa tindakan tersebut diambil kerana Qatar menyokong terorisme dan ekstremisme.

Bagi Malaysia, Qatar merupakan rakan dagang ketiga terbesar negara di Asia Barat dengan keseluruhan perdagangan meningkat tiga kali ganda sejak 10 tahun lalu kepada AS $42.38 juta pada 2015 berbanding AS $26.5 juta pada 2005.

Antara eksport utama Malaysia ke Qatar adalah barangan elektrik dan elektronik serta mesin. -MalaysiaGazette