Dong Zong
KAJANG – Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) memperkenalkan sukatan pelajaran Geografi Fizikal yang lebih mencerminkan keadaan Malaysia dengan menggunakan banyak kajian kes membabitkan negara ini.
Dong Zong merupakan pertubuhan yang bertanggungjawab mengendalikan peperiksaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang diduduki pelajar sekolah menengah swasta Cina di seluruh negara.
Oriental Daily melaporkan, buku teks geografi itu ditulis dari perspektif Malaysia dan berbeza dengan buku sebelum ini yang terlalu banyak menggunakan kajian kes antarabangsa.
Buku teks baharu sebaliknya menggunakan kajian kes yang seimbang berdasarkan keadaan di pelbagai tempat di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.
Isu yang dibincangkan dalam buku teks untuk pelajar menengah tinggi itu antaranya membabitkan penebangan hutan di Sabah, Sarawak serta pembangunan di Pengerang, Johor.
Buku teks tersebut dikarya oleh 30 guru geografi dari sekolah swasta Cina melalui bimbingan profesor geografi dari Taiwan.
Ketua Pegawai Eksekutif Dong Zong, Sun Wan Ying berkata, ramai orang termasuk pegawai Kementerian Pendidikan mempunyai persepsi bahawa sukatan pelajaran sejarah dan geografi di sekolah swasta Cina adalah berasaskan bahan dari China dan Taiwan.
“Hari ini kami boleh beritahu bahawa tidak kira sebelum ini atau selepas ini, bahan pelajaran kami adalah berunsur tempatan.
“Ia bukannya ditulis oleh pasukan pengarang dari China mahupun Taiwan,” katanya. – MalaysiaGazette