Pengundi-pengundi membuat semakan di kaunter semak daftar pemilih sebelum masuk ke bilik mengundi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dikatakan mengambil tempat tahun ini mungkin ditunda sehingga tahun depan.
Sinchew Daily melaporkan, PRU-14 berkemungkinan hanya diadakan selepas Tahun Baharu Cina 2018 selepas mengambil kira beberapa perkembangan terkini termasuk kemungkinan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada Oktober akan datang.
Kata sumber, ‘Kabinet yang sempurna’ dan bukannya ‘Kabinet yang terbubar’ diperlukan untuk menyambut ketibaan pemimpin dari China itu.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagaimanapun memberitahu bahawa jadual lawatan Jinping belum dimuktamadkan.
Beliau berkata, Parti Komunis China akan bersidang pada separuh tahun kedua 2017 dan Jinping hanya ada kelapangan mengadakan lawatan selepas persidangan itu.
“Kami berharap Jinping dapat melakukan lawatan sekali lagi ke negara ini kerana terdapat banyak program kerjasama di bawah One Belt One Road,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak Jinping melawat Malaysia dan memberitahu bahawa pemimpin tertinggi China itu telah bersetuju untuk menyaksikan perasmian kampus Universiti Xiamen di Sepang, Selangor.
Najib sebelum ini pernah membayangkan bahawa pilihan raya mungkin diadakan pada September atau Oktober 2017, atau pada 2018.
Penganalisis pula berpendapat bahawa pilihan raya akan diadakan pada tahun ini jika pembentangan Bajet yang biasanya diadakan pada minggu terakhir Oktober diawalkan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah memberitahu Oriental Daily, peta pengundian lama mungkin digunakan jika peta baharu selepas persempadanan semula tidak sempat digunakan.
Proses persempadanan semula kawasan pengundian oleh SPR berdepan halangan apabila isu itu dibawa ke mahkamah di Selangor dan Melaka.
Mohd. Hashim berkata, SPR tidak boleh menggunakan peta pengundian baharu tanpa penyertaan Melaka dan Selangor.
Menurutnya, SPR sudah bersedia untuk mengadakan PRU-14 walaupun tarikh pilihan raya dan jumlah peruntukan belum diumumkan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette