Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Isa Samad beredar selepas menghadiri sidang media berhubung isu penggantungan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad di Menara Felda, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 06 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) hanya menggunakan auditor dalaman untuk menyiasat dakwaan salah laku urusniaga yang dijalankan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad.

Pasukan penyiasatan yang terdiri daripada empat individu itu akan melakukan siasatan lanjut hasil daripada penemuan firma PriceWaterhouseCoopers yang mendapati terdapat tunggakan pembayaran oleh Safitex bagi pembekalan produk Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOP).

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Isa Abdul Samad tiada penglibatan badan bebas lain termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan tersebut.

“Isunya cuma penemuan salah laku oleh PwC terhadap urusniaga Safitex Tiada sebab lain.

“Kami tidak lapor dan tidak melibatkan SPRM (di dalam siasatan ini) tetapi jika Zakaria rasa dia ada bukti (dan sebab lain) dan mahu melaporkannya kepada SPRM, dia boleh berbuat demikian.

“Sekarang ini, SPRM akan menyiasat semua dakwaan walaupun cuma dihantar melalui surat layang dan kami sedia memberi kerjasama,” katanya semasa sidang media khas di Menara Felda di sini hari ini.

Menurut Isa, pada 31 Mei lalu, ahli lembaga pengarah telah meminta beliau bertemu Zakaria untuk meminta CEO FGV itu meletakkan jawatan.

Ini katanya, bagi memastikan isu salah laku tersebut tidak kecoh kepada orang awam sehingga menjejaskan prestasi FGV.

Zakaria bagaimanapun enggan meletakkan jawatan dan ahli-ahli lembaga pengarah akhirnya mengambil keputusan untuk mengarahkannya bercuti sehingga siasatan selesai.

Selain Zakaria, FGV turut mengarahkan tiga iaitu Ketua Pegawai Kewangannya, Ahmad Tifli Mohd. Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan DOP, Kamarzaman Abd. Karim untuk bercuti bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, kata Isa.

Jelas beliau, Zakaria masih belum dipanggil untuk memberi keterangan atau membela diri kerana pihak lembaga pengarah akan menunggu sehingga siasatan selesai sebelum mengeluarkan surat tunjuk sebab untuk dijawab oleh CEO syarikat perladangan kelapa sawit terbesar negara itu.

Tambahnya, selepas menerima jawapan surat tunjuk sebab tersebut, barulah status masa hadapan Zakaria dapat ditentukan.

Tiada tempoh tertentu diberikan bagi menyelesaikan siasatan, katanya lagi.

Tambah Isa, beliau maklum bahawa tindakan mengarahkan pengurusan tertinggi syarikat tersebut bercuti pastinya memberi kesan kepada saham FGV yang ketika sedang berada di paras rendah bagaimanapun terpaksa mengambil langkah drastik tersebut kerana ianya langkah perlu untuk masa depan FGV.

Tegas beliau lagi, keputusan untuk menyiasat Zakaria bukanlah satu tindakan tergesa-gesa sebaliknya salah laku tersebut sudah lama berlaku dan ahli lembaga pengarah tidak mahu dituduh bersubahat.

“Berdasarkan penemuan PwC memang nampak Zakaria ada buat salah,” katanya ketika ditanya sama ada kesalahan tersebut dilakukan oleh Zakaria atau orang lain.

Menjawab soalan mengapa beliau dan ahli-ahli lembaga pengarah yang lain tidak turut dipertanggungjawabkan di atas kes tersebut, Isa menjawab: “Saya tidak tahu menahu mengenai urusniaga tersebut.”

Isa juga menafikan tindakan ini adalah sebahagian langkah untuk menyingkirkan Zakaria sebaliknya adalah satu prosedur biasa bagi melicinkan proses siasatan. – MalaysiaGazette