Datuk Seri Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menasihati Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz supaya mengambil langkah pertama menyelesaikan isu cukai pelancongan yang telah mencetuskan perbalahan antara beliau dan menteri di Sarawak.

Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Sabah berkata, sebagai rakan dalam Kabinet Persekutuan beliau berpendapat perkara itu seharusnya dibincangkan dengan cara yang lebih diplomasi serta melambangkan semangat perpaduan dalam Barisan Nasional (BN).

“Ingin saya jelaskan, sebarang permasalahan serta isu, terutama yang menyentuh sensitiviti rakyat, seharusnya ditangani melalui perbincangan dan mengambil pendekatan lebih diplomatik dalam urusan berkaitan kebajikan rakyat berbilang kaum dan agama.

“Isu sebegini hendaklah dijelaskan secara baik bagi mengelakkan tercetusnya perkara-perkara yang boleh mengguris hati dan perasaan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Contoh yang diberikan oleh YB Datuk Seri Nazri berkenaan jumlah hotel lima bintang yang berada di Sabah dan Sarawak berbanding dengan Semenanjung merupakan perbandingan yang dirasakan tidak wajar dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Anifah mengulas kenyataan Nazri semalam yang melabelkan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah sebagai ‘setahun jagung dan budak lagi’.

Kenyataan tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati Pemuda Barisan Nasional di bumi kenyalang itu.

Mengulas lanjut, Anifah berkata, sebagai seorang rakan lama, beliau percaya Nazri akan menerima tegurannya demi kebaikan bersama.

“Kita di dalam keluarga BN saling menghormati dan menyelesaikan apa jua permasalahan melalui saluran yang betul demi menjaga keharmonian rakyat sejagat.

“Mandat serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat harus sentiasa diutamakan demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette