Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan (dua kanan) berbual dengan Pengarah Negara bagi Asia Tenggara Kumpulan Bank Dunia, Ulrich Zachau (dua kiri) pada Majlis Pelancaran 'Malaysia Economic Monitor' (MEM) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JUN 2017.

KUALA LUMPUR – Isu yang timbul berhubung cukai pelancongan yang bakal dilaksanakan 1 Julai ini berpunca kerana ia tidak dijelaskan dengan betul kepada semua pihak meskipun telah diluluskan di Parlimen.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berpendapat, Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Abdul Karim Hamzah cuma ingin mengetahui lebih mendalam mengenai cukai yang baharu diperkenalkan itu.

“Cukai tersebut memang telah diluluskan di Parlimen tetapi tidak dijelaskan dengan betul di peringkat kerajaan negeri.

“Saya rasa isunya adalah Datuk Karim yang mewakili Sarawak mahu mengetahui butiran lanjut mengenai perkara tersebut dan saya rasa tiada masalah dengannya.

“Masalah besar di sini adalah artikulasi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Malaysia Economic Monitor June 2017 di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahman, selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap ekonomi negara, beliau sendiri bersetuju dengan pelaksanaan cukai tersebut yang mampu meluaskan lagi pendapatan negara di samping membantu industri pelancongan di Malaysia.

“Cukai tersebut adalah sesuatu yang kita perlukan dan sebagai menteri ekonomi, saya secara peribadi percaya cukai ini adalah baik dan tidak membebankan.

“Ianya hanya sejumlah yang kecil dan ia akan membantu industri pelancongan yang mengalami pemotongan bajet disebabkan kemerosotan pendapatan kerajaan,” katanya.

Isu ini mula panas apabila Nazri menggelarkan Karim sebagai menteri baharu dan tidak perlu kecoh dengan cukai tersebut apabila Menteri Pelancongan Sarawak itu meminta supaya cukai baharu berkenaan di tangguhkan bagi Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Negeri Sarawak kemudiannya mengambil keputusan untuk keluar daripada Lembaga Pelancongan Malaysia.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan