Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan pada sesi Dialog TN50 : Warga Sukan di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan menolak sektor pelancongan sukan negara akan terjejas sekiranya kerajaan mengambil pendekatan untuk melaksanakan cukai pelancongan bulan hadapan.

Khairy Jamaluddin berkata, kesan terhadap sektor itu amat minimum malah tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini.

“Saya rasa tidak ada (kesan kepada kemasukan pelancong asing).

“Kita telah bincang di peringkat Kabinet berkenaan cukai pelancongan ini dan satu penjelasan telah diberikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, anggota Kabinet telah memberi maklum balas mengenai itu.

“Sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya rasa kesannya amat minimal terhadap industri pelancongan sukan,” katanya dalam sidang media selepas menjadi fasilitator Dialog TN50 bersama warga sukan di Majlis Sukan Negara hari ini.

Isu pelaksanaan cukai pelancongan menimbulkan perbalahan apabila Datuk Seri Nazri Aziz bertegas mahu melaksanakan cukai baharu yang menurut beliau bakal memberikan pulangan sekitar RM654 juta kepada kerajaan.

Menurut Nazri lagi,  pelaksanana cukai itu kelak akan menyediakan dana berpanjangan kepada pembangunan industri pelancongan

Biarpun cukai tersebut telah diluluskan Parlimen baru-baru ini, namun beberapa pihak di Sarawak mahu pelaksanaannya dilewatkan, dan meminta supaya kerajaan negeri turut dirunding terlebih dahulu. -MalaysiaGazette.