Pengarah Negara bagi Asia Tenggara Kumpulan Bank Dunia, Ulrich Zachau berucap pada Majlis Pelancaran 'Malaysia Economic Monitor' (MEM) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 JUN 2017

KUALA LUMPUR – Bank Dunia menyarankan supaya pengurusan data yang lebih baik dilakukan Malaysia agar hasrat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi tercapai.

Pengarah Negara Bank Dunia bagi Asia Tenggara, Ulrich Zachau berkata, lebih banyak akses kepada data yang boleh dipercayai dan terbuka bakal merangsang pertumbuhan yang lebih baik tahun ini.

Pengurusan data yang baik dan berkesan akan membantu kerajaan untuk membuat dasar yang baik serta meningkatkan sistem penyampaian.

“Lebih banyak ekosistem bersepadu dan terbuka membolehkan institusi-institusi termasuk agensi pengurusan data kerajaan mengumpulkan maklumat yang boleh meningkatkan perkhidmatan menjadi lebih tersusun, cepat, murah dan berkualiti tinggi.

“Manakala di sektor swasta pula, data yang bagus dapat meningkatkan produktiviti kerana ia boleh digunakan untuk membangunkan produk, analisis pasaran serta asas dan bukti untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Malaysia Economic Monitor oleh Bank Dunia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Bank Dunia mengunjurkan ekonomi Malaysia tumbuh pada kadar 4.9 peratus didorong oleh penggukuhan penggunaan swasta hasil daripada kadar pengangguran yang rendah.

“Ekonomi Malaysia tumbuh 5.6 peratus pada suku pertama 2017 didokong antaranya oleh peningkatan pelaburan swasta dan projek infrastruktur mega yang diterajui kerajaan.

“Selain melakukan semakan menaik pada tahun ini, Bank Dunia turut mengunjurkan pertumbuhan baik bagi 2018 iaitu sebanyak 4.9 peratus dan lima peratus,” katanya. – MalaysiaGazette