Masidi Manjun

KUALA LUMPUR – Kerajaan Sabah akan membincang dan memutuskan pendirian negeri itu berhubung pelaksanaan Akta Cukai Pelancongan 2017 dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitarnya, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Sabah telah membantah cadangan pelaksanaan cukai itu dan memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang pendirian negeri itu di peringkat Persekutuan ketika cukai itu dicadangkan pada tahun lalu.

Katanya, Sarawak juga turut serta membantah cadangan berkenaan yang disampaikan kepada Ketua Menteri semasa lawatan pertama Datuk Amar Abang Johari sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Kerajaan Persekutuan meneruskan untuk menggubal undang-undang yang mengenakan levi (cukai pelancongan) kepada semua pelancong setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Pelaksanaan akta itu akan mencipta dinamik dan cabaran baharu kepada kerajaan negeri. Kerajaan negeri akan membincangkan dan memutuskan pendirian mengenai akta itu dalam mesyuarat Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baru-baru ini Masidi dalam kenyataannya berkata, Sabah membuat bantahan terhadap pelaksanaan cukai tersebut kerana sebarang bentuk cukai perlu disalurkan ke negeri Sabah, bukannya ke dalam kantung Kerajaan Pusat.

Jelas beliau, pelaksanaan cukai tersebut wajar dipertimbangkan untuk masa akan datang dan bukannya dilaksanakan dalam masa terdekat.

Beliau turut melahirkan kebimbangan ramai rakyat Sabah akan kehilangan pekerjaan jika industri pelancongan terjejas memandangkan para peserta sekarang tidak meraih pendapatan tinggi.

Keadaan akan bertambah buruk, katanya jika kerajaan mengambil keputusan melaksanakan cukai pelancongan.

Dalam kenyataan itu, Masidi berkata, banyak pihak mencadangkan agar Sabah keluar dari Lembaga Pelancongan Malaysia kerana tersilap tafsir tindakan Sarawak itu memberi pilihan untuk tidak mematuhi rejim cukai pelancongan.

Sedangkan katanya, tindakan keluar daripada Lembaga Pelancongan Malaysia tidak bermaksud bebas daripada mematuhi pelaksanaan cukai berkenaan.

“Lembaga Pelancongan Malaysia tidak memutuskan polisi-polisi pelancongan atau berkaitan dengan undang-undang pelancongan. Ia adalah sayap pemasaran dan promosi Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan,” jelas Masidi.

Beliau sependapat dengan Sarawak bahawa terlalu kurang atau tidak ada rundingan dilakukan sebelum enakmen cukai pelancongan dibuat.

Sehubungan itu, katanya, Sabah akan terus berkerjasama dengan Sarawak untuk mencari titik persamaan dengan Kerajaan Persekutuan bagi penyelesaian adil berhubung isu ini. – MalaysiaGazette