KUALA LUMPUR – Khairul Kamarudin dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) berkuatkuasa hari ini.

Sebelum ini, Khairul merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam dan berpengalaman selama lebih 21 tahun di dalam dunia korporat termasuk berkhidmat di PricewaterhouseCoopers (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd.

Beliau menyertai Bank Islam pada 2005 dan memainkan peranan penting di dalam menerajui pemulihan aset semasa bank tersebut melakukan pemulihan dan transformasi.

“Beliau instrumental dalam pencitraan semula perniagaan runcit Bank dengan memperkenalkan pendekatan jualan yang agresif dan menggalakkan budaya prestasi berasaskan risiko.

“Beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 2016 dan bertanggungjawab memacu pertumbuhan dan keuntungan keseluruhan semua bahagian perniagaan seperti perbankan pengguna, komersial, korporat, perbendaharaan, deposit dan pasaran modal.

“Beliau juga memainkan peranan penting dalam prestasi keseluruhan operasi, teknologi, Jjenama dan komunikasi pasaran serta hubungan strategik pelanggan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Islam di sini hari ini.

Khairul yang berkelulusan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Anglia University, United Kingdom adalah ahli pengamal Association of Chartered Islamic Finance Professional.- MalaysiaGazette