Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2017 di banggunan Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 14 JUN 2017

PUTRAJAYA – Laporan berhubung fakta dan kemelut melanda Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) baru-baru ini telah disiapkan oleh Datuk Seri Idris Jala.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tugas Idris bagaimanapun masih belum selesai kerana bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu diminta memperhalusi beberapa perkara termasuk menyediakan langkah dan opsyen bagi menyelesaikan krisis FGV.

“Kami sedang teliti segala fakta dan sedang menimbang semua keputusan yang sebaik-baiknya mengikut tiga prinsip yang pernah saya nyatakan dahulu iaitu mengikut undang-undang syarikat, urus tadbir yang baik dan proses yang adil,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2017 di sini petang tadi.

Minggu lalu, kerajaan melantik Idris sebagai orang tengah dan pihak bebas bagi mengemukakan fakta dan mencari langkah untuk menyelesaikan kemelut FGV.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad serta tiga lagi pengurusan kanan syarikat diarahkan bercuti oleh lembaga pengarah atas dakwaan melakukan salah laku urusniaga.

Zakaria bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan mendakwa ianya adalah serangan peribadi selepas beliau enggan mengikuti arahan lembaga pengarah berhubung beberapa isu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia turut membuka siasatan berhubung kes ini. -MalaysiaGazette