Tan Sri Shahrir Abdul Samad

PUTRAJAYA – “Tiada wakil dari Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) datang menemui saya. Jadi kami di Felda tidak tahu apa-apa yang sedang berlaku ketika ini.

“Saya yakin ini adalah disebabkan mereka tidak memahami erti tadbir urus yang baik,” tegas Pengerusi Lembaga Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Shahrir Samad berhubung kemelut yang melanda syarikat perladangan kelapa sawit terbesar Malaysia itu.

Felda merupakan pemegang saham terbesar di dalam FGV bagaimanapun masih tidak mempunyai wakil di dalam barisan lembaga pengarah syarikat tersebut.

Shahrir yang bercakap dengan media selepas bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini  telah mengemukakan beberapa pandangan sebagai pemegang saham FGV berhubung krisis tersebut kepada Perdana Menteri.

Beliau juga menyuarakan pandangan mengenai ketiadaan wakil Felda di dalam lembaga pengarah FGV meskipun menjadi pemegang saham terbesar syarikat tersebut.

“Saya sudah menyatakan pandangan saya dan saya pasti Perdana Menteri ada pandangnya sendiri,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan memulakan inisiatif untuk berjumpa Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad, Shahrir berkata, lembaga pengarah syarikat itu sepatutnya yang bertemu dengannya selaku pemegang saham terbesar.

“Kita pemegang saham. Siapa yang sepatutnya jumpa siapa? Jika mengikut tadbir urus yang baik, pemegang saham seharusnya diberi perhatian dan diminta untuk memberi pandangan tentang sesuatu isu.

“Ahli lembaga pengarah tidak boleh cakap, para pelabur hanya perlu ikut cakap mereka sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette