Datuk Dzulkifli Ahmad

KLANG – Beberapa individu lagi mungkin akan dipanggil pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes melibatkan pegawai tertinggi sebuah agensi penguatkuasaan berhubung set golf bernilai lebih RM40,000 yang diterimanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata sehingga semalam empat individu termasuk ketua pengarah agensi berkenaan dan pembantu peribadinya telah hadir ke pejabat SPRM Selangor untuk memberi keterangan.

“Sekiranya perlu beberapa individu lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan, terdiri daripada orang awam dan anggota agensi berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk di Masjid Asy Syarif, Meru di sini hari ini.

Dzulkifli bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah individu yang akan dipanggil kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

Menurutnya lagi, sehingga kini, tiada tangkapan dibuat berhubung siasatan kes berkenaan.

Sementara itu mengulas mengenai siasatan terhadap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Dzulkifli berkata siasatan kini sudah 60 peratus lengkap.

Ditanya sama ada pihaknya sudah memanggil Pengerusi FGV Tan Sri Isa Samad untuk memberi keterangan, beliau berkata setakat ini belum lagi tetapi tidak menolak kemungkinan untuk berbuat demikian sekiranya perlu.

Pada 8 Jun lalu sepasukan pegawai dan anggota SPRM mengambil masa selama lapan jam bagi menyelesaikan urusan pengambilan dokumen di pejabat Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad di Tingkat 45 Menara Felda, Kuala Lumpur.

Zakaria sebelum itu tampil di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dengan berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV dan beliau dilapor memberi keterangan kepada suruhanjaya itu antaranya mengenai isu tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products.

— BERNAMA