Foto Instagram Hafiz Suip

KUALA LUMPUR – Juara Akademi Fantasia (AF) musim ketujuh, Hafiz Suip bakal bergelar bapa apabila isteri tercinta, Nureffy Jasreel Abdullah disahkan hamil 11 minggu.

Hafiz berkongsi berita gembira itu di laman Instagram miliknya apabila memuat naik rakaman video isterinya sedang melakukan pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), semalam.

“Saya hanya mampu memanjat kesyukuran dan berita ini hadir di bulan mulia.

“Saya teruja saat mendengar denyutan anak ketika isteri saya melakukan imbasan ultrasound. Biarpun masih terlalu awal usia kandungannya, saya tak sabar berkongsi hal ini kepada semua,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Bahagiamu, Deritaku.

Hafiz turut memberitahu dirinya merasa pelik kerana sering mual dan muntah berbanding isteri.

Hafiz dan Nureffy Jasreel bernikah pada 14 Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette