KUALA LUMPUR – Semua pihak tidak sepatutnya menjadi langkah penutupan sementara lorong tambah nilai oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebagai isu besar.

Sebagai pengendali lebuh raya terbesar, sudah tentu PLUS mahu melakukan semua usaha terbaik bagi memastikan kelancaran lalu lintas di lebuh raya pada waktu-waktu puncak semasa Hari Raya Aidilfitri.

Dr. Jacob George

 

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, bantahan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu adalah tidak adil kerana hasil pelaksanaannya belum lagi dapat dilihat.

“Langkah PLUS menutup sementara lorong tambah nilai tidak sepatutnya dijadikan kontroversi. Sudah tentu PLUS sudah mengkaji setiap usaha yang akan diambil.

“Penutupan itu bersifat sementara dan pada masa sama ia telah mengambil langkah-langkah awal dengan menetapkan 9,200 lokasi untuk tambah nilai kad.

“Kalau PLUS berusaha mahu melicinkan perjalanan tanpa penyelesaian. PLUS tutup lorong tambah nilai ada pelbagai cara untuk menambah nilai di lokasi-lokasi yang mudah didapati.

“Syarikat itu mahu memperkenalkan proses baharu bagi menangani masalah. Jadi apa isunya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Khamis lalu PLUS memaklumkan bahawa kesemua 134 lorong tambah nilai akan ditutup mulai 22 Jun hingga 2 Julai bagi memastikan kelancaran lalu lintas sempena Hari Raya.

Ini kerana, transaksi tambah nilai di lorong berkenaan mengambil tiga minit setiap urus niaga, menyebabkan kelancaran di lebuh raya terganggu.

George tidak menafikan lorong tambah nilai menjadi antara punca kesesakan di plaza-plaza tol sehingga berkilometer, selain mewujudkan keadaan kelam-kabut kepada pengguna lain.

Mengulas lanjut, George berkata, pengguna lebuh raya sepatutnya dididik supaya berdisiplin – bukan sahaja merancang perjalanan pergi dan balik kampung mengikut jadual yang ditetapkan, tetapi memastikan kad telah ditambah nilai.

Malah, katanya, jika penutupan lorong tambah nilai itu berjaya mengurangkan masalah kesesakan, ia sepatutnya diteruskan ketika cuti panjang agar pengguna tidak membazir masa mengharungi kesesakan setiap kali musim cuti. – MalaysiaGazette