Shahidan Kassim
KANGAR – Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak akan menemui pemimpin akar umbi parti itu dari seluruh Perlis Isnin ini.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim kedatangan Perdana Menteri yang julung kali bagi tahun ini akan berlangsung di Dewan 2020 bermula 4 petang.

“Kekuatan UMNO bermula dari akar umbi dan UMNO adalah satu-satunya parti yang sentiasa membela rakyat, bukan sekadar berjanji tetapi tidak mampu menunaikannya seperti kebanyakan parti.

“Oleh itu saya menjemput seluruh rakyat Perlis datang ke Dewan 2020 esok untuk menemui dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri,” kata Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada golongan sasar selepas menunaikan solat tarawih bersama mereka di Dewan Warisan di sini, Sabtu malam.

Mengenai bantuan tersebut beliau berkata ia merupakan program tahunan setiap Ramadan untuk membantu golongan sasar seperti tukang gunting rambut, bidan, tukang urut, pemandu teksi, penggali kubur dan golongan miskin.

Peniaga kecil yang gigih berniaga pada bulan Ramadan turut dibantu kerana usaha kecil mereka turut merancakkan ekonomi rakyat. Sumbangan daging dan ayam pula akan diberikan menjelang Syawal, tambahnya.

Shahidan berkata penerima turut diberi tazkirah untuk memantapkan jiwa mereka supaya lebih bersemangat menunaikan ibadat dan mencari rezeki.

Seramai 1,000 orang menerima sumbangan malam tadi di tiga lokasi iaitu di pusat khidmat Kubang Gajah dan Masjid Tambun Tulang.- BERNAMA