Ir. Khairil Nizam Khirudin
Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) meminta majikan di negara ini membuka pintu seluas-luasnya kepada generasi muda yang berminat untuk bekerja.

Timbalan Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, generasi ini perlu diberikan peluang menimba ilmu dan pengalaman supaya daya inovasi dan kreativiti yang mereka miliki dapat dimanfaatkan bagi menjana produktiviti secara bersama antara pekerja dan majikan.

Katanya, kaedah memberi joran lebih baik daripada terus memberikan ikan agar mereka mempunyai daya saing dan usaha gigih untuk berjaya.

Menurut beliau, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan pula harus menitik beratkan aspek modul pembangunan sumber manusia dalam kalangan generasi muda.

“Ini supaya generasi muda yang terpelajar ini mampu berhadapan dengan cabaran realiti dunia sebenar alam pekerjaan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Jelas Ir. Khairil Nizam, bagi memastikan generasi muda tidak menganggur, mereka harus mengikis pendekatan memilih pekerjaan, di samping mengharap mudah terutama ketika negara sedang berhadapan kemerosotan ekonomi global.

Mereka juga katanya, tidak harus terus merasa berada di zon selesa, sebaliknya meningkatkan keazaman tinggi tanpa mengenal erti putus asa untuk mencipta kecemerlangan dalam bidang kerjaya.

“Kita bimbang dengan penurunan kadar tawaran kerja kepada generasi muda yang berterusan berlaku sejak tahun 2014, di mana mereka menjadi golongan terakhir dipilih oleh majikan untuk diambil bekerja.

“Antara faktornya generasi muda masih kurang pengalaman dan kelemahan dalam ‘skill’ berkomunikasi secara efektif terhadap majikan,” katanya.

Beliau berkata, ketika prestasi semasa ekonomi Malaysia belum pulih sepenuhnya daripada impak krisis ekonomi global, generasi muda tidak sewajarnya diketepikan dan menjadi mangsa keadaan.

“Kami berpandangan, penyelesaian kepada masalah penggangguran generasi muda ini memerlukan kerjasama erat dan kesungguhan semua pihak. Mereka wajar diberikan peluang untuk berperanan lebih besar dalam sektor pekerjaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette