Empat remaja lelaki termasuk dua remaja di bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian mangsa buli, T. Nhaveen.

PULAU PINANG – Empat remaja lelaki termasuk dua remaja di bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian mangsa buli, T. Nhaveen, 18.

J. Ragesuthen dan S. Gokulan masing-masing berusia 18 tahun serta dua lagi remaja berusia 16 dan 17 tahun mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama menyebabkan kematian Nhaveen di Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Glugor di sini kira-kira pukul 11 malam hingga 12 tengah malam 9 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohamad Amin juga tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 September ini sebagai sebutan semula kes.

Mendiang T. Nahveen

Sementara itu, di Mahkamah Seksyen 2, keempat-empat tertuduh turut didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada T. Previin, 19, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Irwan Suaibon turut tidak menawarkan jaminan terhadap keempat-empat tertuduh dan menetapkan 21 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Dalam pada itu, kesemua tertuduh juga dilihat menangis teresak-esak ketika dibawa masuk ke kamar mahkamah dengan berpakaian biasa dan tangan bergari.

Sementara itu, di pekarangan mahkamah pula, lebih 50 ahli keluarga keempat-empat tertuduh hadir mendengar kes pendakwaan terhadap mereka dengan ada yang dilihat turut menangis.

Kes itu sebelum ini mencetus perhatian ramai selepas Nhaveen yang dibuli dan dibelasah menggunakan topi kaledar meninggal dunia selepas hampir seminggu tidak sedarkan diri.

Insiden itu dikatakan bermula daripada ejek-mengejek antara mangsa dengan sekumpulan remaja lelaki lain sebelum mangsa dibawa menaiki kereta ke lokasi kejadian dan dibelasah.

Bagaimanapun, rakannya, Previin sempat melarikan diri namun turut cedera di bawah mata akibat dipukul dan kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Selain parah dibahagian kepala, dubur Nhaveen juga ditusuk dengan objek tumpul serta terdapat kesan terbakar pada bahagian bahunya. – MalaysiaGazette