Tan Sri Isa Samad

KUALA LUMPUR – Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob akan dilantik Pengerusi baharu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menggantikan Tan Sri Isa Samad, menurut laporan Berita Harian.

Menurut akhbar itu, pengumuman lanjut mengenai pelantikan Dr Sulaiman yang juga Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, FGV dijangka dibuat hari ini.

Pelantikan Sulaiman susulan krisis yang berlaku dalam syarikat perladangan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadualkan mengadakan mesyuarat di Putrajaya untuk membincangkan isu FGV.

Mohd Isa Samad juga akan bertemu Perdana Menteri.

Krisis FGV yang berlaku dalam pengurusannya mencapai kemuncak selepas Mohd Isa dan Lembaga Pengarahnya, mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha serta Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim bercuti pada 6 Jun lalu. – MalaysiaGazette