Kastam
Subromaniam Tholasy

KUALA LUMPUR – Tekanan media akhirnya menyaksikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia membatalkan keputusan untuk mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada 60 barangan makanan.

Antaranya jagung, sayuran sejuk beku, ikan belut, ikan todak serta buah-buahan import (avocado, apricot, anggur, ceri, peach dan plum), figs dan marjerin.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy berkata, keputusan itu diambil selepas mereka merujuk perkara tersebut kepada Kementeria Kewangan.

“Sukacita dimaklumkan media tempatan telah membuat laporan mengenai item makanan tertentu yang berkadar sifar GST akan dikenakan cukai tersebut sebanyak enam peratus bermula 1 Julai.

“Pihak media telah merujuk kepada Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No.2) 2017 yang telah diwartakan pada 6 Jun 2017 melalui P.U (A) 162 dan akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2017.

“Jabatan Kastam telah merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklumbalas dan telah membuat keputusan supaya P.U (A) 162 Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No.2) 2017 dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan media mengenai 60 barangan kadar sifar akan mula dikenakan GST dan Subromaniam sendiri mengakuinya.-MalaysiaGazette