Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebarang kerjasama politik mungkin boleh dilaksanakan jika PKR dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) keluar daripada Pakatan Harapan (PH), itu syarat yang diletak oleh Pas jika kedua-dua parti itu masih mahu bekerjasama dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata itu satu-satunya jalan yang ada jika mahu merealisasikan kerjasama dengan parti Islam tersebut.

“Kita membuka ruang pada semua kecuali DAP dan PAN sahaja. Kita yakin tiga parti ini (Pas, PKR dan PPBM) jika bergabung potensi untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) semakin cerah,” Nik Amar yang dipetik berkata dalam sebuah program di Kelantan semalam.

Nik Amar menyatakan keyakinan hanya dengan kerjasama tersebut pembangkang dapat menewaskan BN yang selama ini menguasai kerajaan pusat.

Pas memutuskan untuk tidak mempunyai hubungan dengan PPBM selepas parti serpihan UMNO itu menyertai PH yang menyaksikan mereka bekerjasama secara langsung dengan PAN dan DAP.

Pada Mei lalu, Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa Pas menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, ia termasuk dalam kerajaan negeri Selangor, selepas Muktamar Pas ke-63 di Alor Setar.

Badan tertinggi parti itu meluluskan usul supaya pimpinan parti menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti apabila PKR dilihat tidak menghormati Pas sebagai rakan sekutu mereka. – MalaysiaGazette