Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama barisan kepimpinan UMNO menyanyikan lagu parti pada Majlis Perdana Menteri Bersama Kepimpinan Akar Umbi UMNO Perlis hari ini. --fotoBERNAMA

KANGAR – Rakyat dinasihati supaya memilih pemimpin yang benar-benar mampu mentadbir negara dan bukannya pemimpin ‘syok sendiri’ sehingga sanggup mencalonkan diri sendiri untuk menjadi perdana menteri.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam keadaan UMNO dan Barisaan Nasional (BN) yang terus konsisten menabur jasa kepada rakyat, pembangkang pula semakin bercelaru dan tidak mampu membela nasib rakyat.

“Tiada siapa yang berhak menjadi perdana menteri melainkan melalui proses pilihan raya. Dalam sistem demokrasi berparlimen, parti yang banyak memenangi kerusi yang layak membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri.

“Tidak boleh tawar diri sendiri untuk jadi perdana menteri seperti yang berlaku dalam pembangkang. Perdana menteri sejak merdeka adalah Presiden UMNO sebab UMNO yang paling banyak kerusi di Parlimen,” katanya ketika berucap pada Majlis Perdana Menteri Bersama Kepimpinan Akar Umbi UMNO Negeri Perlis yang dihadiri 3,000 anggota parti di Dewan 2020 di sini, hari ini.
Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Najib berkata kekuatan UMNO masih utuh dan kukuh serta mampu memenangi pilihan raya yang akan datang.

“Sebab itu, kita tidak boleh dengar mana-mana kumpulan yang kerap kali bermesyuarat semata-mata mahu memilih calon perdana menteri masing-masing,” katanya.
Beliau berkata tidak gunanya melantik si polan sebagai calon perdana menteri sedangkan pada hakikatnya mereka gagal menguasai majoriti kerusi di Parlimen.

“Parti Bunga (Parti Bersatu Pribumi Malaysia) ada satu sahaja kerusi. UMNO ada 88 kerusi dan sebab itu tidak masuk akal untuk mereka pilih calon perdana menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Najib yakin Perlis mampu memastikan UMNO dan BN kekal memerintah pada pilihan raya umum nanti berdasarkan kepada perpaduan yang begitu utuh dalam kalangan anggotanya.

“Saya tengok di Perlis boleh capai memenangan 3-0 (kekal kerusi Kangar, Arau dan Padang Besar) dan BN tubuh kerajaan nanti,” katanya.

Najib juga turut menasihati anggota parti mengambil iktibar kepada peperangan Badar dan Uhud pada zaman Rasulullah SAW dengan mentaati pemimpin.

“Kita tidak kira negeri kecil atau besar tapi apa yang kita mahu adalah kemenangan 100 peratus dan kalau patuh kepada prinsip wala`, Insya-Allah kita akan menang 100 peratus,” katanya.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan peruntukan sebanyak RM6 juta kepada Perlis untuk membaik pulih rumah yang uzur dan membaiki sistem jalan raya.

Najib, yang dalam rangka lawatan sehari ke Perlis dan Kedah, kemudian dijadual menghadiri majlis Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Penyerahan Sumbangan dan Perasmian Pelancaran Lampu Jalan di Masjid Pering, Kubang Pasu, Kedah.

Beliau dijadual menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Bukit Pinang, Kota Setar, Alor Setar sebelum berlepas pulang ke ibu negara.

— BERNAMA