foto SAFWAN MANSOR,

KUALA LUMPUR – Pasukan Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik berjaya menumpaskan satu rangkaian sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang aktif di sekitar Kuala Lumpur dengan tertangkapnya 18 orang pengedar.

Susulan itu, polis berjaya merampas dadah jenis heroin  seberat 188.9 gram, syabu (4,461.74 gram), serbuk dadah Methamphetamine (305 gram), serbuk dadah (200 gram), pil Erimin 5 (200 biji) dan pil Ecstasy (15 biji) yang kesemuanya bernilai RM596,715 selain harta bernilai RM65,000.00 disita.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kuala Lumpur, Suprintendan Mohd. Faisal Yahya berkata, bertindak atas maklumat, pasukan Narkotik Wangsa Maju telah melakukan operasi khas di tiga tempat berbeza.

“Dalam serbuan pertama pukul 1.10 pagi pada 16 Jun di sebuah hotel di kawasan Pudu telah menahan seorang lelaki dan perempuan berusia antara 15 hingga 25 tahun.

“Pemeriksaan ke atas bag yang digalas oleh perempuan tersebut telah merampas 100 paket plastik berwarna biru bertulis ’Apache’ Ice Cool Lemon Tea 25 gram disyaki campuran serbuk dadah Methamphetamine 2900 gram.

“Hasil soal siasat, pasukan serbuan dengan dipandu oleh suspek telah membuat serbuan kedua di sebuah rumah di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sebelum menangkap lima lelaki dan dua perempuan berumur antara 16 hingga 25 tahun.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu polis berjaya merampas 10) Paket plastik berwarna biru bertulis ’Apache’ Ice Cool Lemon Tea 25 gram disyaki campuran serbuk dadah Methamphetamine (305 gram), sepeket plastik dadah syabu (0.37 gram), (3) Biji Erimin 5 ( 0.92 gram) yang nilainya dianggarkan RM224,395,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kes berkaitan katanya, polis Narkotik KL melakukan satu lagi serbuan sekitar 1 pagi pada 17 Jun lalu di sebuah rumah di Setapak sebelum tertangkapnya seorang lagi lelaki berusia 30-an.

Ujarnya, hasil pemeriksaan di kediaman lelaki itu polis berjaya menemui lima bungkus plastik disyaki dadah syabu (AB:260gram), lima bungkus serbuk putih disyaki dadah (200gram), 200 pil Eramin 5 (56 gram) 12 biji pil ekstasi (1.06gram) dengan anggaran  RM60,500 dan sebutir peluru.

“Kesemua suspek telah direman dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan disiasat di bawah Sek. 39B ADB 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabitkan kesalahan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette