Zakaria Arshad

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) yakin dapat membuktikan beliau tidak bersalah terhadap dakwaan melanggar prosedur syarikat.

Datuk Zakaria Arshad berkata, beliau telah melantik Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai penasihat undang-undang dalam mengendalikan kes ini.

“Merujuk kepada siasatan dalaman yang telah dimulakan oleh Tan Sri Isa Samad, saya yakin saya akan dapat dibuktikan tidak bersalah.

“Saya akan mematuhi cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Idris Jala,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Dalam kenyataan itu, beliau turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Tan Sri Sulaiman Mahboob sebagai pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd.

Terdahulu, laporan bebas berhubung krisis FGV yang dikemukakan oleh Idris mendapati empat pengurusan kanan syarikat tersebut termasuk Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangannya telah melanggar prosedur syarikat.

Lantaran itu, tindakan lembaga pengarah untuk memulakan prosiding displin ke atas mereka adalah tidak salah berikutan cukup bukti dan alasan munasabah untuk mengaitkan mereka dengan pelanggaran prosedur dalam urus niaga Delima Oil Products (DOP) dengan Safitex.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, FGV dengan itu perlu meneruskan prosiding berkenaan. – MalaysiaGazette