Home Nasional 38 EBS di lokasi kerap berlaku kemalangan – KP JPJ

38 EBS di lokasi kerap berlaku kemalangan – KP JPJ

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menempatkan 38 stesen penguatkuasaan (EBS) di sepanjang lebuh raya utama bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan secara berterusan dan menyeluruh sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron berkata, EBS berkenaan merupakan pusat pemeriksaan bagi memastikan anggota JPJ membuat rondaan di sepanjang laluan yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

“Selain menjadi pusat pemeriksaan untuk anggota, EBS juga akan menjadi kawasan pemeriksaan sekiranya pasukan ronda mengesan pengguna jalan raya melakukan kesalahan.

“Kita juga akan mengeluarkan saman di EBS sekiranya kenderaan yang anggota ronda tahan itu telah melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Operasi Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2017 di Plaza Tol Sungai Besi di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara lokasi EBS ialah Plaza Tol Tangkak, Johor; Plaza Tol Rawang, Selangor; Plaza Tol Ipoh; Perak dan Plaza Tol Sungai Dua Butterworth, Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Nadzri berkata seramai 3,128 anggota dan pegawai akan bertugas sepanjang Ops HRA 2017 yang bermula semalam hingga 2 Julai ini.

“Tahun ini, kita menambah 1, 128 anggota berbanding tahun lepas hanya 2,000 yang bertugas pada musim perayaan ini.

“Pertambahan ini bagi memastikan pengguna jalanraya sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Selain itu, kita juga akan mengerakkan 815 kenderaan penguat kuasa yang ditempatkan di kawasan tumpuan kemalangan,” katanya.

Nadzri menambah setakat dua hari Ops HRA 2017 di jalankan, pihaknya telah memeriksa lebih 5,000 kenderaan.

“Dari jumlah itu, sebanyak 521 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh.

“Kita memandang serius perkara ini dan tindakan lebih tegas boleh diambil sekiranya pengguna jalanraya masih berdegil,” katanya. – MalaysiaGazette