Datuk Nurulhidayah yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata itu kelihatan anggun memakai jubah putih rekaan pereka tempatan Sara Jamaludin.

MEKAH – Anak perempuan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sah bergelar isteri kepada pasangannya, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di Masjid al-Haram (Masjidil Haram) pukul 10 pagi waktu tempatan, hari ini.

Datuk Nurulhidayah yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata itu kelihatan anggun memakai jubah putih rekaan pereka tempatan Sara Jamaludin.

Suaminya pula berpakaian sedondong dengan memakai baju Melayu tradisional berwarna putih.

Dengan hanya sekali lafaz, Saiful, 47, sah bergelar suami kepada Nurulhidayah, 38, yang diwalikan oleh Ahmad Zahid pada majlis akad nikah itu.

Majlis akad nikah turut disaksikan Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Datuk Mohammad Ali Selamat.

Pasangan pengantin kelihatan tersenyum selepas mereka disahkan sebagai suami isteri.

Saiful memberikan Nurulhidayah sebentuk cincin dan mas kahwin bernilai 3,800 Saudi Riyal (RM4,340) manakala pengantin perempuan membalas hantaran dengan memberikan seutas jam tangan.

Hadir sama kira-kira 20 hingga 30 tetamu termasuk ahli keluarga kedua-dua belah pengantin serta beberapa tetamu kenamaan.

Beberapa keping foto menunjukkan para tetamu berkumpul di kawasan masjid di Mekah selain individu ternama seperti Datuk Siti Nurhaliza bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa juga kelihatan di majlis berkenaan.

Saiful pertama kali bertemu dengan Nurulhidayah pada awal Februari tahun ini atas urusan kerja apabila mereka terlibat dalam urusan perniagaan selepas kematian suami Nurulhidayah Allahyarham Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi pada Jun tahun lalu.

Ahli perniagaan itu meluahkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan Nurulhidayah empat bulan lalu selepas mendapat persetujuan daripada ibu bapa Nurulhidayah.

Kedua-dua mereka secara khusus memilih tanah suci kerana percaya ia merupakan sebuah tempat yang istimewa sebagai menandakan detik penting mereka.

Menjelang majlis perkahwinan tersebut, Nurulhidayah telah menyiarkan imej teaser pada akaun Instagramnya, yang mana beliau menggelarkan sebagai ‘imam’ sekaligus membuatkan ramai pengikut laman sosialnya tertanya-tanya siapa lelaki bertuah yang menjadi pilihan hatinya.

Namun selepas majlis ijab kabul mereka selesai, segala tanda tanya itu telah terjawab.

Pasangan pengantin baharu ini dijangka pulang dari Mekah pada Jumaat ini dan akan mengadakan majlis perkahwinan tertutup dalam masa dua bulan lagi di lokasi yang akan disahkan nanti. – MalaysiaGazette