Home Nasional Doktor tidak boleh sembarangan lapor penderaan orang dewasa

Doktor tidak boleh sembarangan lapor penderaan orang dewasa

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) kesal tindakan Menteri Kesihatan yang membuat kenyataan umum untuk memanggil doktor yang merawat mangsa dera, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Presidennya, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, sepatutnya sebelum sebarang kenyataan dikeluarkan perkara itu wajar disiasat daripada kedua-dua belah pihak demi keadilan.

“Kenyataan-kenyataan umum seperti ini sepatutnya dielakkan kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam kelmarin yang memaklumkan Kementerian Kesihatan akan memanggil doktor daripada sebuah kinik swasta yang merawat Zulfarhan dalam tempoh terdekat.

Menteri Kesihatan itu berkata, doktor berkenaan akan dipanggil bagi mendapatkan penjelasan berikutan kegagalannya melaporkan kecederaan yang dialami Zulfarhan kepada pihak polis.

Subramaniam mempersoalkan tindakan doktor berkenaan yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak melaporkan kepada polis jika pesakit mengalami kecederaan berpunca daripada kemalangan atau dipercayai mempunyai unsur jenayah.

Doktor yang tidak membuat laporan adalah salah kerana ia merupakan tanggungjawab dan amalan yang seharusnya dilakukan mereka yang merawat pesakit berkenaan, kata Menteri Kesihatan itu.

Bagaimanapun, Ahmad Shukri berkata, memang dalam akta penderaan kanak-kanak, seseorang doktor perlu membuat laporan jika punca kemalangan pesakit ada unsur jenayah tetapi ia tidak berlaku pada penderaan pesakit dewasa.

“Dalam akta penderaan kanak-kanak, doktor boleh buat laporan tapi tidak ada akta bagi penderaan orang dewasa. Kita tak boleh buat laporan sembarangan kerana jika mangsa tak mahu mereka boleh saman doktor yang membuat laporan itu,” ujarnya.

Zulfarhan, 21, yang merupakan Pegawai Kadet Laut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia meninggal dunia di Hospital Serdang, pada 1 Jun lalu dengan kesan lebam dan melecur di badan.

Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) turut berharap doktor yang didakwa gagal melaporkan kecederaan dialami Zulfarhan diberi pendengaran adil oleh Kementerian Kesihatan.

Presidennya Dr Ravindran R Naidu berkata, apa yang dilihat doktor terbabit ketika dikunjungi pesakit berkenaan mungkin jauh berbeza daripada apa yang dilihat semasa bedah siasat. – MalaysiaGazette