Tan Sri Isa Samad
PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Tan Sri Isa Samad dan isterinya dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok dipercayai bagi membantu siasatan terhadap FGV.

Menurut sumber suruhanjaya itu, mereka dijangka hadir di ibu pejabat SPRM di sini pada 10 pagi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Isa bersetuju melepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV dengan rela hati dan melantik Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi FGV baharu berkuat kuasa serta-merta.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad serta tiga pegawai pengurusan kanan FGV bercuti bermula 6 Jun lalu.

Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Susulan kemelut itu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali untuk meneliti isu dalaman FGV berkenaan.

— BERNAMA