Cristiano Ronaldo

SEPANYOL – Presiden Real Madrid, Fiorentino Perez menyatakan Cristiano Ronaldo akan terus kekal dalam La Liga musim hadapan.

Dengan kenyataan terbaharu itu, Perez menolak khabar angin bahawa bekas bintang Manchester United itu akan meninggalkan Los Blancos musim ini.

Perez menjelaskan bahawa pemain antarabangsa Portugal itu akan menyelesaikans segala pertikaian yang tercetus dengan pihak berkuasa pengutip cukai Sepanyol.

Perez berkata, Ronaldo sangat marah dengan dakwaan penipuan cukai terhadapnya di Sepanyol yang mengakibatkan fikirannya terganggu dan membuat keputusan meninggalkan Real Madrid dan kembali ke Old Trafford.

Theatre of Dreams adalah pilihan utama sekiranya pemain itu memilih untuk meninggalkan Sepanyol di masa akan datang.

Bagaimanapun United dikatakan tidak berhasrat untuk terlibat dalam isu politik yang menyelubungi Ronaldo tetapi secara dekat memantau perkembangannya di Santiago Bernabeu.

Perez dengan yakin mengesahkan pemain berusia 32 tahun itu tidak akan dijual.

“Dia (Ronaldo) masih merupakan pemain Real Madrid dan akan terus kekalkan statusnya itu.

“Saya belum berbincang dengan Ronaldo tetapi apa yang saya tahu adalah dia tidak dilayan baik di negara ini.

“Apabila Ronaldo balik dari kempen Piala Konfederasi, kami akan mengendalikan perkara itu secara baik dan saya sedar dia sangat marah ketika ini,” katanya.

Manchester United juga dikatakan menyedari keadaan yang mana Real Madrid akan memujuk untuk memastikan Ronaldo kekal di sana.

Ronaldo telah memperbaharui kontraknya bersama Real Madrid selama lima tahun dengan klausa pelepasan sebanyak £785 juta (RM4.2 bilion).

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho pula dikatakan mahu mengambil kesempatan mencuba memujuk Ronaldo untuk kembali ke Old Trafford.

Kelab England itu percaya bidaan berjumlah £131 juta (RM714 juta) sudah memadai untuk memastikan Ronaldo bersetuju untuk berhijrah ke kelab yang membesarkannya itu. MalaysiaGazette