KUALA LUMPUR – Syarikat pembinaan dan hartanah, Bina Puri Holdings Bhd. akan menyaksikan penyenaraian anak syarikatnya, PT Megapower Makmur Tbk di bursa Indonesia pada 5 Julai ini.

Syarikat itu mengharapkan supaya penyenaraian tersebut boleh membantunua meningkatkan keuntungan kepada perniagaan tenaganya sebanyak 20 peratus setahun.

Perniagaan tenaganya ketika ini hanya menyumbang kira-kira 1 peratus kepada perolehan syarikat.

Bina Puri memiliki 80 peratus kepentingan di dalam PT Megapower terlibat di dalam bidang janakuasa tenaga mikro.

Ia membekalkan perkhidmatan tenaga mikro kepada PT Perusahaan Listrik Negara.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Datuk Mathew Tee berkata, syarikat tersebut akan memberi pertimbangan untuk meluaskan lagi loji janakuasa di Indonesia pada tempoh terdekat.

Buat masa ini katanya, sektor pembinaan masih menjadi penyumbang utama perolehan syarikat.

“Melihat kepada pasaran hartanah yang tidak menentu, sektor pembinaan dilihat masih lagi industri terbaik untuk disertai,” katanya selepas menyaksikan pembukaan persimbangan baharu di lebuhraya Kl-Kuala Selangor Expressway (LATAR) di Persimpangan Bandar Tasik Puteri, Rawang dekat sini.- MalaysiaGazette