NEW YORK – Pengasas bersama Uber Technologies Inc., Travis Kalanick meletakkan jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat tersebut akibat tekanan daripada para pelabur, kata jurucakap syarikat itu hari ini.

Peletakan jawatan Kalanick adalah selepas siasatan selama sebulan oleh bekas Peguam Negara Amerika Syarikat, Eric Holder yang diupah Uber untuk melihat budaya dan amalan kerja di syarikat tersebut selepas seorang pekerja wanita menuduh syarikat tersebut secara terbuka dengan menyifatkan ia tempat gangguan seksual.

Lima pelabur besarnya termasuk syarikat modal teroka, Bencmark meminta Kalanick supaya meletakkan jawatan secara serta-merta.

Ketika surat berkenaan disampaikan kepada Kalanick, beliau sedang berada di Chicago.

Dalam sepucuk surat bertajuk ‘membawa Uber ke hadapan’ para pelabur turut meminta perubahan pucuk pimpinan.

Kalanick telah mengadakan perbincangan dengan salah seorang ahli lembaga pengarah Uber selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa pelabur selama beberapa jam, beliau akhirnya bersetuju untuk meletakkan jawatan.

Beliau bagaimanapun kekal sebagai ahli lembaga pengarah Uber.

“Saya menyayangi Uber lebih daripada apa sahaja di dunia ini.

“Ini merupakan tempoh paling sukar dalam hidup peribadi saya tetapi saya menerima permintaan pelabur yang mahu saya mengundurkan diri supaya Uber boleh membina reputasinya kembali berbanding terus bergaduh,” katanya.-MalaysiaGazette