Mayat Elcides Rodrigues Pereira ditemui Sabtu lalu.

RORAIMA – Seorang juruterbang Brazil yang pesawatnya terjatuh di sungai Amazon meninggal dunia selepas jatuh dari helikopter yang cuba menyelamatkannya.

Pesawat satu enjin itu mendarat di sungai selepas mengalami masalah elektrik dan tenggelam dalam beberapa saat.

Kedua-dua juruterbang dan penumpang berjaya menyelamatkan diri dan menunggu beberapa jam untuk dibawa keluar kerana lokasi kejadian di dalam hutan.

Dalam operasi menyelamat mangsa-mangsa, penyelamat telah melemparkan tali untuk mereka naik ke dalam helikopter.

Bagaimanapun, ketika giliran juruterbang itu, Elcides Rodrigues Pereira, beliau kehilangan cengkamannya lalu jatuh ke sungai dan diseret.

Ketika kejadian, Pereira dan Ednilson Cardoso, seorang juruteknik kejururawatan berusia 28 tahun, berada dalam misi kesihatan untuk melawat penduduk Asli di lokasi terpencil.

Cardoso memberitahu media tempatan bahawa dia telah mengikat tali pada Pereira yang sudah keletihan tetapi dia jatuh ke dalam Sungai Catrimani.

Operasi menyelamat itu dilakukan oleh pemilik pesawat dan bukan oleh pihak berkuasa. Mayat Pereira ditemui pada Sabtu lalu. – MalaysiaGazette