Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maybank menjangkakan peningkatan 35 peratus dalam jumlah nilai
transaksi e-Duit Raya melalui Maybank2u tahun ini berbanding 2016.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Malaysia Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan
berkata, perkhidmatan e-Duit Rayayang diperkenalkan pada tahun 2015 telah mencatat
hampir RM2 juta jumlah dalam nilai transaksi semasa sambutan Hari Raya pada 2016.

“Hari Raya ini, kami menjangkakan angka ini meningkat sebanyak 35 peratus kepada
sekurang-kurangnya RM2.6 juta memandangkan populariti transaksi digital yang semakin
meningkat

“Kami juga menjangkakan jumlah transaksi meningkat kepada 22,000 daripada 20,000 pada tahun lepas,” katanya di sini.

Perkhidmatan e-Duit Raya membolehkan pelanggan untuk menghantar hadiah tunai
perayaan kepada penerima dengan hanya menggunakan nombor telefon bimbit mereka,
dengan syarat nombor tersebut mestilah nombor yang berdaftar di Malaysia.

Setiap transaksi boleh dilakukan dengan sekurang-kurangnya RM1.00 dan maksimum
RM1,000, dengan jumlah had sebanyak RM5,000 setiap hari.

Pelanggan boleh menebus e-Duit Raya mereka pada bila-bila masa sepanjang tempoh 19
Jun hingga 21 Julai.

Bagi mereka yang mempunyai orang tersayang di luar negara, Hamirullah berkata,
mereka boleh menggunakan perkhidmatan Visa Direct M2U dalam tempoh Hari
Raya, yang mana dana boleh dikirim serta-merta ke luar negara kepada kad kredit Visa,
debit atau kad prabayar penerima melalui Maybank2u.

Untuk Hari Raya ini, Maybank juga masih meneruskan pertandingan Salam & Menang yang
diperkenalkan pada tahun lepas.

Tahun ini, pengguna berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik seperti wang tunai RM200 yang diberikan setiap hari kepada 5 pemenang bertuah, Basikal Lipat Fusion Power, Runtastic Orbit, Samsung Galaxy Tab A, Samsung Gear VR, e-baucar membeli-belah Lazada dan e-Baucar Bilik NIDA. – MalaysiaGazette