Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersalaman bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Berhad, Datuk Abdul Mutalib Alias (empat kiri) diiringi Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tiga kiri) dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim (tiga kanan) selepas menandatangani perjanjian pembiayaan RM 5.0 Bilion Sukuk dan Revolving Credit bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Muzaffar Hisham (dua kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ambank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir (kiri) di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 JUN 2017

PUTRAJAYA – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) merancang untuk meraih RM5 bilion dana menerusi program sukuk dan kemudahan kredit berpusing (revolving credit) bagi memastikan ia mempunyai kecairan yang cukup untuk meneruskan projek-projeknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mutalib Alias berkata, hasil daripada terbitan sukuk dan kemudahan kredit itu akan digunakan untuk membina 89,449 unit rumah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM23 bilion.

“Bagi memastikan program PR1MA iaitu menyediakan kediaman kepada kumpulan pertengahan ini dapat diteruskan pada masa akan datang, kami perlu mencari dana lain sebagai tambahan kepada geran kerajaan,” katanya semasa sidang media selepas memeterai perjanjian dengan bank-bank yang menyertai program sukuk dan kemudahan kredit tersebut di sini hari ini.

Majlis disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Menurut Mutalib, PR1MA menerima mandat untuk menyiapkan 500,000 rumah dan setakat ini 267,902 unit pembangunan telah diluluskan yang mana 139,393 buah rumah sedang berada di dalam pelbagai peringkat pembinaan manakala sejumlah 9791 unit telah dijual dengan nilai jualan sebanyak RM2.36 bilion.

“Projek PR1MA dijangka siap mengikut jadual yang mana 8,476 unit rumah telah siap dan kami yakin sasaran 17,000 rumah siap pada tahun ini mampu dicapai.

Setakat ini lebih 1.42 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dengan PR1MA di seluruh Malaysia yang mana 166,972 telah membuat permohonan.-MalaysiaGazette