KUALA LUMPUR – Kabinet sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan Siasatan Diraja (RCI)) bagi membolehkan siasatan kerugian urus niaga mata wang Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 1980-an dan 1990-an diteruskan.

RCI itu disyorkan oleh Petugas-Petugas Khas (PPK) yang membentangkan hasil laporannya ke Kabinet hari ini.

PPK dalam laporannya, mendapati wujud elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat yang bertujuan mengelirukan Jemaah Menteri dan Parlimen.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, PPK mendapati wujud kes prima facie bagi kerugian BNM.

Penubuhan RCI itu membolehkan siasatan terperinci lebih menyeluruh dapat dilakukan berdasarkan lunas-lunas perundangan dan dilindungi di bawah Akta 119.

“RCI ini bertujuan menjadi kepentingan awam, yang mana kerugian sebenar BNM akibat urus niaga mata wang asing melibatkan rizab negara dapat dipastikan.

“Ini kerana PPK mendapati jumlah kerugian sebenar adalah lebih besar daripada yang telah dilaporkan,” katanya di sini.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Penubuhan RCI itu nanti mampu merungkaikan isu yang membelenggu negara sejak 23 tahun lalu.

Tambahnya, kerajaan berterima kasih kepada Pengerusi PPK, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, ahli-ahli dan sekretariat PPK kerana memberi komitmen penuh dengan menjalankan siasatan awal kerugian urus niaga itu dengan telus, bebas dan adil. – MalaysiaGazette