Menteri KLKW, Datuk Seri Ismail Sabri melayan anak yatim pada Program Jom Moreh yang diadakan di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Nasuha, Gombak malam ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menyampaikan sumbangan kepada 700 anak yatim dan asnaf seluruh negara yang berjumlah RM155,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Sumbangan tersebut disampaikan di dalam program Simfoni Ramadan YPM 2017 dengan kerjasama MARA di negeri-negeri.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumbangan tersebut bertujuan untuk meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik dalam menyambut hari raya.

“Kita berharap golongan ini juga tidak merasa terpinggir untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” kata beliau semasa ditemui semasa Program Jom Moreh yang diadakan di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Nasuha, Gombak malam ini.

Pada progrm yang sama, seramai 135 anak yatim menerima sumbangan berupa beg sekolah dan juga setiap orang menerima sumbangan hari raya RM100 seorang.

Menurut beliau, sumbangan itu besar nilainya dan mengalu-alukan syarikat korporat untuk bekerjasama dengan YPM dalam melaksanakan CSR seperti ini.

Selain sumbangan ke rumah anak yatim, YPM juga mengadakan pemberian sumbangan kepada golongan gelandangan sekitar ibu kota.

“Saya berharap usaha murni seperti ini dapat diteruskan bagi membolehkan seluruh umat Islam dapat menjalani ibadat puasa dengan baik tanoa sebarang masalah,” kata Ismail lagi. – MalaysiaGazette