KUALA LUMPUR – AirAsia memeterai perjanjian untuk menempah 14 lagi pesawat A320ceo daripada Airbus bagi memenuhi pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding jangkaan.

Dalam kenyataanya, AirAsia berkata, kontrak yang tertakluk kepada kelulusan lembaga pengarah itu diumumkan di Persembahan Udara Paris hari ini.

Dengan pertambahan tersebut, ini menyaksikan keseluruhan pesawat dari keluarga A320 yang ditempah oleh AirAsia meningkat kepada 592 sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelanggan terbesar pesawat satu lorong dari Airbus.

Sehingga kini sejumlah 171 pesawat A320ceo dan lapan A320neo telah dihantar kepada syarikat penerbangan tambang murah berkenaan dan digunakan bagi anak-anak syarikat di Malaysia, India, Indonesia dan Filipina.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, permintaan sangat tingggi bagi negara-negara tradisi AirAsia dengan Indonesia, Filipina dan India menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan.

“Permintaan yang sangat tinggi ini memaksa kami untuk menambah pesawat dan Airbus telah menjadi rakan yang sangat bagus di dalam membantu kami mencapai misi tersebut.

“Kami masih perlu mencari lebih banyak peawat untuk perluasan serantau dan ketika ini sedang aktif mencari sumber daripada pasaran pajakan.

“Pasaran sekarang sangat kompetitif ditambah pula dengan harga minyak yang stabil.

“Dengan kos paling rendah di dunia, AirAsia kini bersedia untuk kembali agresif mengukuhkan pertumbuhan,” katanya.-MalaysiaGazette