Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menerima writ saman daripada Ahli Parlimen Subang Jaya, R. Sivarasa.

Ia ekoran kenyataan Ku Nan terhadap pemimpin PKR itu dalam isu mencemarkan masjid sehingga dimurkai Sultan Selangor baru-baru ini.

Ku Nan akan merujuk perkara itu kepada peguamnya dan bersedia berhadapan di mahkamah.

“Inilah masalahnya apabila tak faham dengan bahasa, cuba lari dari isu yang sebenar.

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan dukacita terhadap tindakan Sivarasa, yang didakwa mencemarkan kesucian masjid baru-baru ini.

“I whack him back kerana inilah contoh perosak keharmonian. Sebagai wakil rakyat dia mesti respect pada agama lain, ada adab apatah lagi titah sultan,” ujarnya dalam kenyataan di media sosialnya.

Ku Nan yang juga Setiausaha Agung UMNO mempertikaikan inikah sikap pemimpin sedangkan dia sudah melanggar peraturan yang ada, tidak hormat dan sekarang cuba mengelirukan rakyat.

“Saya juga tak teragak-agak untuk ambil tindak balas dan saman di atas apa dia telah sebut dan lakukan. Tindakan dia boleh menjadi penyebab rakyat majmuk negara ini bertelingkah sedangkan kita selama ini sentiasa pelihara kesejahteraan antara kaum dan agama,” tegas Ku Nan.-MalaysiaGazette