Ketua Polis Daerah Tangkak, Mohad Idris Samsuri (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas di sebuah rumah di Sungai Mati pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak, di sini hari ini.

TANGKAK – Seorang lelaki rakyat tempatan dan teman wanitanya warga Vietnam bukan sahaja merupakan pasangan kekasih tetapi mereka juga berpasangan untuk mengedar dadah.

Kegiatan pasangan itu mengedar dadah terbongkar apabila ditahan polis, hasil serbuan di sebuah rumah di Sungai Mati di sini semalam.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, pasangan itu juga membungkus dadah yang diedarkan mereka menyerupai plastik makanan dengan corak bunga.

Dalam serbuan pada 8 pagi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah yabg dipercayai untuk edaran di pusat hiburan sekitar daerah ini bernilai RM157,800 selain kereta Honda Civic dan sebuah motosikal.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohad Idris Samsuri berkata, hasil ujian awal air kencinb kedua-dua mereka juga positif dadah jenis Methamphetamine.

“Polis percaya dadah yang dirampas antaranya pil Eramin 5, syabu, heroin, ketamin dan ekstasi itu untuk edaran pasaran tempatan dan pusat-pusat hiburan di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, suspek lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan wanita Vietnam itu kini direman sehingga 27 Jun depan.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -MalaysiaGazette.