Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maybank melancarkan terminal kad Alipay di Malaysia untuk memudahkan pembayaran tanpa sentuh bagi kira-kira 3 juta pelancong dari China.

Terminal Alipay tersebut boleh didapati di kedai runcit utama.

Ia termasuk Royal Selangor, Poh Kong Jewellers, Harrison Signature, Made In Malaysia, Mystical Borneo, King of Fruits, Hotel Sunway Resort, Hotel Sunway Clio, Hotel Sunway Pyramid, DFZ Duty Free dan Eraman.

Di Kota Kinabalu seperti Restoran Imperial Seafood, Hotel Ming Garden & Residence dan Restoran Fish Market.

Lebih ramai peniaga dijangka menyertai senarai dalam beberapa bulan yang akan datang.

Perkhidmatan baru ini berikutan perkongsian strategik baru-baru ini di antara Kumpulan Maybank dan Ant Financial Services dari China untuk menyediakan pengguna Alipay yang berkunjung ke Malaysia dengan kemudahan pembayaran tanpa sentuh di pelbagai pusat perniagaan.

Ketua Pegawai Strategik Kumpulan Maybank, Michael Foong berkata, terminal Alipay yang
baru itu bukan sahaja akan menyediakan perkhidmatan pembayaran yang pantas, lancar
dan selamat.

Perkhidmatan itu huga meningkatkan pengalaman perjalanan mereka di Malaysia dan pada masa yang sama meningkatkan juga perbelanjaan pelancong.

Terminal yang didayakan Alipay membenarkan pembayaran tanpa sentuh melalui kod QR yang mana saudagar hanya perlu mengimbas kod QR Alipay pelancong untuk transaksi pembelian yang akan dilaksanakan.

“Pelancong dari China membentuk sebahagian pelawat asing yang semakin meningkat di
Malaysia dan dianggarkan membelanjakan kira-kira RM9 bilion di negara kita tahun ini,” katanya.

Michael menambah keupayaan baru terminal kad di Malaysia adalah penting kerana Alipay adalah platform pembayaran pihak ketiga yang terkemuka di dunia dengan 450 juta pengguna, dengan lebih 80 peratus daripadanya merupakan pengguna mudah alih. – MalaysiaGazette