Pengurus Besar Jabatan Perolehan menampung tugas Presiden KTM Berhad, Hider Mohd Yusoff (tengah) mengedarkan pek sumbangan sempena hari raya kepada penumpang-penumpang KTM Komuter di KL Sentral, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Warga kota yang ingin pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri masih berpeluang menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Intercity yang disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Pengurus Besar Perolehan KTMB, Mohd Hider Yusoff berkata, masih ada kekosongan kira-kira 30 peratus daripada 212,328 tiket yang disediakan untuk sambutan Aidilfitri.

“Bagi perjalanan Hari Raya Aidilfitri iaitu bermula 18 Jun hingga 3 Julai, kita sediakan sebanyak 191,328 tiket untuk ETS dan 21,000 tiket untuk perkhidmatan Intercity.

“Sehingga semalam hampir 70 peratus tiket telah dijual iaitu sebanyak 128,362 tiket bagi perkhidmatan ETS dan 12,581 tiket Intercity untuk pengguna yang ingin pulang di saat akhir, masih ada lagi kekosongan.

“Sebanyak 140,943 daripada 201,020 tiket keretapi bagi perkhidmatan KTM Intercity dan ETS untuk perjalanan sempena Aidilfitri juga sudah terjual,” katanya yang kini turut memangku tugas Presiden KTMB.

Mohd Hider berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan 1,700 pek cenderahati Hari Raya kepada penumpang ETS dan Intercity di Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan tidak mendapatkan tiket disaat akhir kerana tiket bagi semua perkhidmatan yang ditawar terus mendapat sambutan tinggi.

“Kita berharap pengguna mendapatkan tiket lebih awal kerana tiket yang dijual akan habis pada bila-bila masa,” katanya.

Hider berkata, sempena sambutan Aidilfitri juga, KTMB melalui perkhidmatan komuter turut mengadakan promosi Kad Komuter Link secara percuma yang mana sebanyak 2,000 keping diedarkan hari ini hingga Sabtu ini.

“Kad ini diberikan percuma yang mana orang ramai hanya perlu membayar RM10 untuk nilai simpan yang tersedia dalam kad…kalau hari biasa, kad dijual dengan harga RM10 setiap satu tanpa nilai.

“Ini merupakan satu cara untuk kita galakkan pengguna mengguna Kad Komuter Link tanpa perlu beratur panjang beli tiket dan melalui kad ini juga pengguna dapat menikmati kadar tambang 20 peratus lebih murah sepanjang masa,” katanya.

Menurut Mohd Hider, pihaknya juga turut bekerjasama dengan GrabCar Malaysia dengan memberi diskaun sebanyak RM6 dan nilai tambah kepada pengguna perkhidmatan komuter dari 16 stesen terpilih bermula semalam hingga 28 Jun ini.

Sebanyak 140,943 daripada 201,020 tiket keretapi bagi perkhidmatan KTM Intercity dan ETS untuk perjalanan sempena Aidilfitri juga sudah terjual sejak 18 Jun hingga 3 Julai ini. – MalaysiaGazette