Dr. Lim Mah Hui

PULAU PINANG – Bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dr. Lim Mah Hui mendakwa sebuah syarikat pemaju pernah membayar RM1 juta kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk menukar status tanah lereng bukit dengan rancangan membina kondominium dengan 600 unit rumah.

Dakwa beliau, permohonan itu dibuat pada 2011 selepas pemaju berkenaan membeli tanah tersebut yang terletak di Sungai Ara, di sini setahun sebelumnya.

Katanya, tanah itu didaftarkan sebagai kawasan lereng bukit di bawah Akta Perlindungan Tanah 1960 dengan 43 peratus kawasannya merupakan cerun dengan lebih 25 darjah sekali gus dikategorikan sebagai kawasan lereng bukit yang sensitif.

“Selepas membeli tanah itu pada 2010, pemaju berkenaan membuat permohonan supaya status lereng bukitnya dibatalkan dan diluluskan SPC pada 2011 dengan bayaran RM1 juta.

“Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang yang digazetkan dengan jelas melarang sebarang pembinaan di kawasan lereng bukit yang sensitif melainkan ia merupakan ‘projek istimewa’ yang diluluskan kerajaan negeri

“Bagaimana projek perumahan itu telah diluluskan sebagai ‘projek istimewa’ oleh MBPP menjadi persoalan dalam cadangan projek pembangunan ini yang turut menjadi kes mahkamah antara pemaju dan penduduk,” katanya dalam satu keyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mah Hui turut mempersoalkan kenyataan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang kononnya langsung tidak menyentuh kawasan hutan simpan di negeri ini.

Menurut beliau, hutan simpan yang dibanggakan Kerajaan DAP Pulau Pinang kononnya kekal terpelihara itu hanya kira-kira 5,000 hektar atau 4.9 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri ini.

“Ketika kerajaan negeri mempertahankan kawasan hutan simpan yang sangat terhad ini, polisi dan dasar yang diamalkannya mendedahkan lebih banyak kawasan hutan kepada pembangunan yang lebih agresif.

“Ini menjurus kepada penurunan drastik dari sudut kemapanan dan kelestarian alam sekitar yang jelas bertentangan dengan slogan Pulau Pinang Lebih Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat,” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.